who am i ?? a slave of Allah ! Prophet Muhammad (praised be upon him)'s follower, insyaAllah =)
Sunday, April 18, 2010
Dai'e kah aku?!
Perjalanan dakwah yang kita lalui ini bukanlah perjalanan yang banyak ditaburi dengan hamparan permaidani merah dan kesenangan. Ia merupakan perjalanan panjang yang penuh rintangan, mehnah dan tribulasi. Telah banyak sejarah orang-orang terdahulu yang merasa pahit getirnya perjalanan dakwah ini. Ada yang diseksa, ada yang harus berpisah dengan sanak-saudara, ada pula yang diusir dari kampung halamannya dan berderetan lagi kisah perjuangan manusia lain yang telah mengukir bakti dari pengorbanannya dalam jalan dakwah ini. Mereka telah merasakan dan sekaligus membuktikan cinta dan kesetiaan terhadap jalan dakwah yang suci ini.
Cuba kita renungkan kisah peperangan Dzatur Riqa’ yang dialami oleh sahabat Abu Musa Al Asy’ari dan para sahabat lainnya. Mereka telah merasakannya hingga kaki-kaki mereka robek dan kuku tercungkil. Namun mereka tetap mengharungi perjalanan itu tanpa mengeluh sedikitpun. Bahkan, mereka malu untuk menceritakannya kerana keikhlasan mereka dalam perjuangan. Keikhlasan membuatkan mereka gigih dalam pengorbanan dan menjadi tinta emas sejarah umat dakwah ini. Buat selamanya…
Pengorbanan yang telah mereka berikan dalam perjalanan dakwah ini menjadi suri teladan bagi kita sekalian. Kerana sumbangan yang telah mereka berikan, dakwah ini tumbuh bersemi dan kita pun dapat menikmati hasilnya dengan gemilang. Kawasan Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan umat Islam telah mengembangkan populasi dalam jumlah besar. Semua itu kurnia yang Allah swt. berikan melalui kesungguhan dan kesetiaan para as-Sabiqun al-Awwalun dalam medan dakwah ini. Semoga Allah meredhai mereka. Renungkanlah pengalaman mereka sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surat At-Taubah: 42.
لَوْ كَانَ عَرَضاً قَرِيباً وَسَفَراً قَاصِداً لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُون) التوبة : 42)
"Kalaulah apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu adalah jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)."
Mereka juga telah melihat pengajaran daripada orang yang dapat bertahan dalam mengharungi perjalanan yang berat itu, hanya kesetiaanlah yang dapat mengukuhkan perjalanan dakwah ini. Kesetiaan yang menjadikan pemiliknya sabar dalam menghadapi cubaan dan pancaroba perjuangan. Ia menjadikan mereka optimis dalam menghadapi kesulitan dan siap berkorban untuk meraih kejayaan. Kesetiaanlah yang menghantarkan jiwa-jiwa patriotik ini untuk berada pada barisan paling depan dalam perjuangan. Kesetiaan jualah yang membuat pelakunya berbahagia dan sangat menikmati beban hidupnya serta setia dalam kesempitan dan kesukaran mahupun kelapangan dan kemudahan.
Sebaliknya orang-orang yang manja jiwanya dalam perjuangan ini tidak akan dapat bertahan lama. Mereka selalu mengeluh atas beratnya perjalanan yang mereka tempuh. Mereka pun menolak untuk menunaikan dakwah dengan pelbagai macam alasan agar mereka diizinkan untuk tidak berjuang. Mereka pun berat hati berada dalam perjuangan ini dan akhirnya berguguran satu persatu sebelum mereka sampai pada tujuan perjuangan. Penyakit wahan telah menyerang jiwa-jiwa mereka yang rapuh sehingga mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa kepahitan adalah sebahagian risiko dan sunnah dakwah ini. Malah kesanggupan dalam dakwah mereka tergugat lantaran anggapan mereka bahawa perjuangan dakwah tidak harus mengalami kesulitan.
إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ* وَلَوْ أَرَادُواْ الْخُرُوجَ لأَعَدُّواْ لَهُ عُدَّةً وَلَـكِن كَرِهَ اللّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُواْ مَعَ الْقَاعِدِينَ ) التوبة : 45-46)
“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”. (At-Taubah ; 45-46)
Kesetiaan yang ada pada mereka merupakan kayu ukur ampuh untuk menilai daya ketahanannya dalam misi dakwah. Sikap ini membuatkan mereka sentiasa bersiap-siaga untuk menjalankan tugas yang terpikul di pundaknya. Mereka pun dapat menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Bila ditugaskan sebagai perajurit paling hadapan dengan segala akibat yang akan dihadapinya, ia sentiasa berada pada posisinya tanpa ingin meninggalkannya sekejap pun. Atau apabila mereka ditempatkan pada bahagian belakang, ia akan berada pada tempatnya tanpa berpindah-pindah dan terliur dengan apa yang diperolehi oleh barisan depan sebagaimana yang disebutkan Rasulullah saw. dalam beberapa riwayat tentang pejuang yang baik.
Marilah kita menyelusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Beliaulah yang disebutkan Hasan Al Banna sebagai orang yang sebaik sahaja pulang dari bekerja, beliau sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah dan kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari detik ke detik secara ‘maraton’. Beliau selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Akan tetapi, sesudah menunaikan tugas dakwah dengan sebaik-baiknya, beliau merupakan orang yang pertama sekali datang ke tempat kerjanya. Malah, beliaulah yang membukakan pintu gerbang pejabatnya.
Pernah beliau mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat kondisi tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tamunya itu tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al-Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk ke kota lainnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan duit untuk beliau menaiki taksi. Abdul Fattah mengembalikannya sambil mengatakan, “Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.” Zainab pun menjawab, “Aku sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi aku tetap dapat memikul dakwah ini dan aku pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Karana itu, pakailah duit ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.” Beliau pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah swt. berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan awam sahaja.”
Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya pada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Allah swt. telah banyak memberikan janji-Nya pada orang-orang yang beriman yang setia pada jalan dakwah berupa berbagai anugerah-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran.
يِا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إن تَتَّقُواْ اللّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَاناً وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ] الأنفال : 29]
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (al-Anfal ; 29)
Dengan janji Allah swt. tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan dakwah ini. Dan mereka pun tahu bahawa perjuangan yang berat itu sebagai kunci untuk mendapatkannya. Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt. kepadanya. Kesetiaan yang bersemayam dalam diri mereka itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Dan, mereka pun tidak akan pernah mau merubah janji kepada-Nya.
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً] الأحزاب : 23]
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab ; 23)
Pernah seorang pejuang Palestin yang telah lama meninggalkan kampung halaman dan keluarganya untuk membuat mencari dukungan dunia dan dana ditemubual; “Apakah yang membuat anda dapat meninggalkan keluarga dan kampung halaman sebegini lama?” Jawabnya, “Kerana perjuangan. Dan, dengan perjuangan itu kemuliaan hidup mereka lebih bererti untuk masa depan bangsa dan tanah airnya. Kalau bukan karena dakwah dan perjuangan, kami pun mungkin tidak akan dapat bertahan,” ungkapnya lirih.
Aktivis dakwah sangat menyakini bahawa kesabaran yang ada pada dirinyalah yang membuat mereka kuat menghadapi pelbagai rintangan dakwah. Jika dibandingkan apa yang kita sumbangkan serta apa yang kita harungi dalam jerit perih perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, belumlah seberapa. Pengorbanan kita di hari ini hanyalah secebis pengorbanan waktu untuk dakwah, secubit pengorbanan tenaga dalam amal khairiyah untuk kepentingan dakwah dan sekelumit pengorbanan harta dari keseluruhan harta kita yang banyak. Cubalah bandingkan dengan pengorbanan orang-orang terdahulu, ada yang disisir dengan sisir besi, ada yang digergaji, ada yang diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga robeklah orang itu. Ada pula yang dibakar dengan tungku yang berisi minyak panas. Mereka dapat mengharungi kegetiran ini kerana kesabaran yang ada pada dirinya.
Kesabaran adalah kubu pertahanan orang-orang beriman dalam meniti perjalanan ini. Bekal kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan kesetiaan mereka pada Allah swt.Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan temukan kisah-kisah rang yang menakjubkan yang telah menyuburkan dakwah ini. Muncullah pertanyaan besar yang harus kita tujukan pada diri kita saat ini, “Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini atau kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini?”
Ingat, dakwah ini tidak akan pernah dapat dipikul oleh orang-orang yang manja. Ketabahan, keseriusan dan kesungguhan aktivis dakwah merupakan kenderaan yang akan menghantarkannya kepada kejayaan dan kegemilangan. Semoga Allah menghimpunkan kita dalam kebaikan. Wallahu’alam.
Adaptasi dari tulisan : Drs. DH Al Yusni
Baitul_Irfan yahoogroups :)
-kredit untuk adikku...faizatunnur-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment